
Kuala Lumpur: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan golongan ahli politik yang sudah tersasar daripada perjuangan asal sebagai kelompok paling banyak merungut berbanding peniaga kecil dan usahawan mikro di negara ini.
Perdana Menteri berkata, hasil pertemuan beliau dengan peniaga di peringkat akar umbi mendapati kebanyakan mereka lebih bersyukur dengan bantuan disediakan kerajaan dan tidak terlalu banyak mengeluh.
Menurutnya, peniaga kecil terutama di pasar tani dan kawasan komuniti lebih fokus mencari rezeki serta meneruskan perniagaan berbanding terlibat dengan polemik politik.
“Yang banyak merungut ini biasanya kelompok tertentu termasuk ahli politik yang sudah tergelincir daripada landasan perjuangan.
“Peniaga kecil pula kebanyakannya bersyukur dengan bantuan diterima dan tidak asyik berleter sepanjang masa,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Pasar Tani Taman Melawati dan sesi ramah mesra bersama penjaja di ibu negara, hari ini.
Mengulas perkembangan politik semasa, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) enggan mengulas lanjut kerana mahu memberi tumpuan kepada usaha membantu golongan peniaga kecil.
“Tak ada politik hari ini… politik nasi dagang,” katanya berseloroh.
Anwar berkata, kebanyakan penjaja dan usahawan mikro yang ditemuinya turut berterima kasih kepada agensi kerajaan kerana membantu mereka mendapatkan pinjaman bagi meneruskan perniagaan.
Bagaimanapun, beliau mengakui masih ada sebahagian peniaga yang belum mengetahui kemudahan bantuan dan pembiayaan disediakan kerajaan.
Sementara itu, Kementerian Kewangan memaklumkan kerajaan akan terus memantau pelaksanaan kemudahan pembiayaan mikro melebihi RM5 bilion menerusi beberapa agensi berkaitan.
Menurut kementerian itu, langkah berkenaan penting bagi memastikan proses permohonan lebih mudah, syarat pembiayaan tidak membebankan dan bantuan dapat disalurkan kepada peniaga kecil.
Katanya, kemudahan pembiayaan mikro itu juga penting dalam membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) berdepan tekanan kos operasi susulan ketidaktentuan ekonomi global.
Secara keseluruhan, Kerajaan MADANI menyediakan lebih RM15 bilion sokongan pembiayaan kepada PMKS tahun ini.









