KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Hari Arafah bukan sekadar lambang kesatuan umat Islam, sebaliknya membawa mesej penting untuk umat Islam mengangkat nilai serta meningkatkan kualiti diri dalam menghadapi cabaran dunia yang semakin kompleks.
Beliau berkata mesej tersebut disampaikan menerusi khutbah bertajuk “Arafah Hari Kebangkitan” yang didengarinya ketika menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Muttaqin, Wangsa Melawati, di sini.
Katanya, perhimpunan besar umat Islam di Arafah bukan sahaja menggambarkan kesatuan, malah menjadi ruang refleksi untuk memperkukuh kekuatan rohani, disiplin serta ketahanan diri dalam mendepani perubahan zaman.
Anwar turut menegaskan bahawa nilai yang ditekankan dalam ibadah haji dan Hari Arafah perlu dijadikan panduan dalam kehidupan seharian, khususnya dalam membina masyarakat yang lebih berakhlak, berilmu dan berdaya saing.
Dalam pada itu, beliau mendoakan agar semua jemaah haji Malaysia serta petugas yang terlibat dikurniakan kesihatan yang baik dan dipermudahkan segala urusan ibadah di Tanah Suci.
Kerajaan Arab Saudi sebelum ini mengisytiharkan Hari Arafah jatuh pada Selasa, diikuti sambutan Aidiladha pada Rabu, dengan kira-kira 31,600 jemaah Malaysia menunaikan ibadah haji bagi musim 1447H/2026M tahun ini.









